Friday, June 20, 2008

Kesahihan Titah Dan Kebijaksanaan Sultan Perak

Tindakan ahli Parlimen Bukit Gelugor (Karpal Singh) yang mempersoalkan kuasa Sultan Perak dalam isu pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP).

Secara ilmiah, terdapat dua perkara penting yang perlu kita ketahui apabila kita membicarakan isu ini.

Pertama, dari segi undang-undang.

Kedua, dari segi sosio-psikologi

Segi Undang-undang

Kuasa dan keistimewaan raja-raja Melayu adalah tertakluk kepada Perlembagaan Malaysia. Manakala negeri-negeri beraja pula mempunyai doktrin perundangan negeri masing-masing.

Negeri Perak pula mempunyai sistem yang istimewa dipanggil Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak

Majlis tersebut tertakluk kepada enakmen-enakmen negeri yang telah diluluskan oleh Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak dan diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perak. Enakmen-enakmen ini juga dinamakan Enakmen Pentadbiran Agama Islam.

Jika kita merujuk Bahagian 1, (perenggan 3) di dalam Enakmen tersebut (pindaan 1993)

3. Melainkan jika diperuntukkan dengan nyata dalam Enakmen ini, tiada apa-apa jua yang terkandung dalam Enakmen ini boleh melemahkan atau menyentuh hak-hak prerogatif dan kuasa-kuasa istimewa Duli Yang Maha Mulia Sultan sebagai Ketua Agama Islam bagi Negeri Perak Darul Ridzuan sebagaimana yang ditetap dan dinyatakan dalam Fasal VI Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Perenggan di atas begitu jelas menerangkan kedudukan dan kuasa Sultan Perak sebagai Ketua Agama Islam.

Jika kita merujuk kepada Bahagian II (Perenggan 6)

1) Majlis hendaklah membantu dan menasihati Duli Yang Maha Mulia berkenaan dengan semua perkara yang berhubung dengan Agama Islam, kecuali perkara-perkara Hukum Syarak dan yang berhubung dengan pentadbiran, keadilan, dan dalam semua perkara sedemikian hendaklah menjadi pihak berkuasa utama dalam Negeri Perak Darul Ridzuan selepas Duli Yang Maha Mulia Sultan,kecuali jika diperuntukkan sebaliknya dalam Enakmen ini.

Perenggan di atas telah menerangkan bahawa prosedur kepada semua perkara yang berkaitan dengan agama Islam mesti melalui Sultan Perak sendiri dan hanya akan diterimapakai setelah mendapat perkenan baginda.

Jawatankuasa Majlis yang terdiri daripada Yang Dipertua (dilantik oleh Sultan setelah berunding dengan Menteri Besar), Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Ketua Polis Negeri, Mufti, Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah dan lain-lain, secara adabnya boleh membantu dan menasihati Sultan berkenaan perkara-perkara yang berhubung dengan agama Islam.

Titah Sultan Perak agar Yang Dipertua dilantik semula dan bekerja sehingga akhir tempoh perlantikannya, jelas menunjukkan kearifan dan kebijaksanaan baginda.

Walaupun baginda mempunyai hak-hak prerogatif dan kuasa-kuasa istimewa untuk tidak mempedulikan suara-suara sumbang yang kedengaran, tindakan Sultan Perak masih juga merujuk dan di dalam skop perundangan negeri.

Jika kita merujuk Bahagian II (perenggan 5)

(5) Seseorang yang sebaik sahaja sebelum berkuatkuasanya seksyen ini adalah Yang Dipertua atau ahli Majlis yang dilantik di bawah Enakmen 1965 hendaklah tertakluk kepada Enakmen ini, terus menjadi Yang Dipertua atau ahli Majlis sehingga tamat tempoh perlantikannya atau sehingga perlantikan di bawah Enakmen ini dibuat mengikut mana yang terdahulu.

Dalam konteks di atas, titah Sultan Perak adalah sahih dan tidak boleh dikaitkan sebagai campurtangan di dalam urusan kerajaan negeri Perak.

Baginda hanya menggunapakai perenggan di atas agar Yang Dipertua sedia ada bertugas sehingga tamat tempoh perlantikannya.

Malah, tidak ada klaus di dalam undang-undang negeri Perak yang membenarkan seseorang Menteri Besar itu berhak melucut jawatan Yang Dipertua tanpa persetujuan dan membelakangi Sultan Perak.

Yang ada hanyalah di dalam Bahagian II (perenggan 12) iaitu Sultan Perak boleh membatalkan perlantikan Yang Dipertua atau mana-mana ahli majlis di atas beberapa perkara yang termaktub di dalam enakmen itu.

Segi Sosio-psikologi

Sungguh memalukan apabila setelah lebih 50 tahun negara kita merdeka, masih ada warganegara kita yang masih tidak dapat memahami adat budaya, tatatertib dan kesensitifan kaum-kaum lain di Malaysia.

Lebih-lebih lagi apabila kecetekan ilmu berkawan itu datangnya daripada seorang pemimpin tertinggi parti DAP yang lantang melaung-laungkan konsep ‘Malaysian Malaysia’.

Secara moralnya, tindakan menegur dan mempertikaikan titah raja merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima oleh kaum Melayu dan semestinya setiap warganegara yang mendokong penuh doktrin perlembagaan beraja serta undang-undang negara ini. Apatah lagi, teguran itu dibuat secara terbuka dan diketahui umum tanpa fakta yang benar.

Seperti kata orang Inggeris, the damage has been done. Realitinya, Karpal Singh telah tersilap besar kali ini dan mesti mengaku salah di atas segala tindakannya itu. Sultan Perak merupakan orang yang pertama beliau perlu jumpa dan meminta maaf.

Manakala beliau juga perlu meminta maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat kerana telah memberikan kenyataan yang diputarbelit dan tidak benar.

Merujuk kepada perkara di atas, apakah Karpal Singh masih mahu berfikiran sebagai seorang peguam yang kerjanya mempertahankan kes beliau atau sebagai seorang warganegara Malaysia yang mendokong sepenuh jiwa dan raganya kepada perlembagaan beraja, undang-undang dan kewujudan kaum-kaum majmuk di negara ini?

Biar cawangan calon presiden, kata Mukhriz

Ahli Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Tun Mahathir mencadangkan setiap cawangan Umno yang bermesyuaratnya Julai ini, mengusulkan senarai pemimpin pilihan mereka di peringkat nasional - dari presiden, timbalan, naib-naib presiden, majlis tertinggi serta kepimpinan tertinggi Wanita, Pemuda dan Puteri.

"Dengan cara ini, seramai 3.5 juta ahli dari akar umbi akan bertanggungjawab memilih pemimpin khususnya presiden dan timbalan presiden, bukan 2,500 perwakilan yang mewakili mereka dan juga rakyat Malaysia," katanya.

Katanya, bahagian hendaklah menerima calon yang mendapat lebih 50 peratus pencalonan oleh cawangan dan perwakilan perlu akur kepada keputusan yang telah dibuat.

"Sebelum ini anggota cawangan hanya hadir dan membuat pencalonan tetapi pada akhirnya perwakilan yang menentukan siapa yang akan jadi pemimpin.

"Kebarangkalian berlaku rasuah adalah besar. Sekiranya cadangan ini diguna pakai, rasuah boleh dielakkan berikutan keputusan telah dibuat pada peringkat akar umbi,"

Benar kata Ahli Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz ini yang mana meletakkan semua ahli UNMO bertangungjawab dalam memilih Pemimpin. Ini melihatkan satu lagi cara Demokrasi yang mana keputusan yang di buat adalah daripada akar umbi yang mana semua Ahli UNMO terlibat secara langsung memilih sesiapa yang layak untuk menerajui UMNO.

Perubahan perlu dilakukan dengan segera untuk menyelamatkan UMNO. Menisfesto PRU 12 adakah sudah di laksanakan? Betapa kritikalnya sehingga Datuk Yong Teak Lee dengan begitu berani nenyatakan ingin membuat undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.Tidak ada sejarah selama 51 tahun adanya undi tidak percaya kepada Perdana Menteri.

UMNO perlu mengambil tindakan drastik, merubah sesuatu demi kebaikan Agama, Bangsa dan Tanah Air.