20/04/2010 1:25pm Lelaki ditangkap kerana menyamar pegawai MB Perak IPOH: Seorang lelaki ditangkap di pejabat Menteri Besar Perak yang terletak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pagi tadi kerana didakwa menyamar sebagai pegawai kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Lelaki berusia 34 tahun itu ditangkap oleh pegawai di pejabat berkenaan pada pukul 10.30 pagi selepas didapati menggunakan kad nama yang dibuat oleh sebuah kedai di sini, yang memaparkan namanya dengan dua nombor talian bimbit, gambar Zambry serta beralamat di Aras 1, Bangunan Perak Darul Ridzuan. Ketika diajukan pertanyaan oleh beberapa kakitangan yang bertugas, lelaki yang sudah mempunyai dua anak itu mengaku menerima antara RM10 dan RM30 bagi setiap orang yang dibawanya untuk sesi bertemu pelanggan yang berlangsung setiap Selasa di bangunan itu.
Lelaki yang sebelum ini bekerja di Jabatan Landskap dan Rekreasi, Majlis Bandaraya Ipoh itu sudah diberhentikan pada 2008 kerana terbabit dalam satu kes rogol dan selepas itu lelaki terbabit membuat pelbagai kerja antaranya tukang ‘tarik kereta’.
Ketika Pegawai Khas Menteri Besar, Azhar Ahmad mahu membawa dan membuat laporan polis terhadapnya, dia merayu supaya dilepaskan dan berjanji untuk tidak mengulangi kesalahan itu. Bagaimanapun dia kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk diserahkan kepada pihak polis kerana kesalahannya itu menjejaskan nama baik dan imej Menteri Besar yang tidak pernah mengenakan sebarang bayaran untuk sesiapa sahaja yang mahu berurusan di pejabat itu. Azhar berkata, penipuan itu dapat dikesan Jumaat lalu apabila suspek tidak mengambil kad pengenalan yang ditinggalkan di pondok pengawal keselamatan bangunan berkenaan. “Bila disiasat, kita dapati suspek menyamar dan menggunakan status penyamaran itu untuk mendapatkan wang imbuhan daripada orang ramai. Dia mengambil upah membawa dokumen ke pejabat Menteri Besar dengan penyamaran itu. Kita bimbang tindakan suspek akan menjatuhkan maruah Menteri Besar,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di IPD Ipoh.
“Suspek berjaya ditahan selepas datang ke bangunan itu semula pagi tadi untuk menuntut kembali kad pengenalannya, katanya. Katanya, sebelum ini suspek sering mengunjungi Bangunan Perak Darul Ridzuan pada setiap hari Selasa, Khamis dan Jumaat untuk mendapat bantuan sokongan kelulusan dokumen. “Sudah sebulan dia berulang alik ke sini dan kita juga sentiasa membantunya atas dasar tanggungjawab. Tetapi kita tidak sangka dia boleh bertindak sejauh ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Azisman Alias ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut. Beliau berkata suspek kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan iaitu menipu dengan jalan samaran dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi daripada tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. 7Feb 2011 Pegawai Khas MB Perak Buat Laporan Polis Mengenai Dokumen Palsu IPOH: Pegawai Khas Menteri Besar Perak Datuk Azhar Ahmad hari ini membuat dua laporan polis berhubung kes pemalsuan dokumen yang menggunakan nama Menteri Besar serta jabatan kerajaan negeri oleh pihak tertentu bagi tujuan menipu. Laporan pertama dibuat di balai polis Pantai Remis pada pukul 6 pagi dan laporan kedua di balai polis Sungai Senam di sini kira-kira tiga jam kemudian.
Dalam satu persidangan akhbar di pejabatnya pada Isnin, Azhar berkata laporan itu dibuat selepas pihaknya menerima dua surat menggunakan kepala surat Menteri Besar Perak dan bertanda tangan pegawai khas Menteri Besar mengenai kelulusan tanah pertanian kerajaan negeri bagi dua lokasi berasingan. "Saya tidak pernah menandatangani mana-mana surat kelulusan tanah milik kerajaan negeri. Surat itu palsu dan ia merupakan satu pembohongan yang berniat jahat untuk memburukkan pegawai-pegawai di sini dan juga kemungkinan untuk menjejaskan reputasi Menteri Besar sendiri," katanya.
Beliau berkata surat pertama membabitkan kelulusan tanah pertanian seluas kira-kira 324 hektar di Mukim Kenering yang bertarikh pada 9 Disember tahun lalu manakala surat kedua yang juga dengan kepala surat pejabat Menteri Besar serta bertandatangan beliau, berkaitan kelulusan tanah seluas kira-kira 400 hektar di Mukim Pengkalan Hulu yang dikeluarkan pada 13 Januari lalu. Azhar berkata kedua-dua surat itu adalah palsu serta berniat jahat, dan menurutnya beliau sebenarnya tidak mempunyai sebarang kuasa untuk meluluskan permohonan tanah. "Saya mohon supaya mana-mana individu yang menerima surat sedemikian atau menjadi mangsa penipuan sindiket itu supaya buat laporan polis, selain dapatkan pengesahan lanjut daripada kerajaan negeri sebelum membuat sebarang pembayaran," katanya. Minggu lepas Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir meminta polis menyiasat kemungkinan penglibatan 'orang dalam' dalam, kegiatan penipuan menggunakan nama beliau dan juga jabatan kerajaan yang dikesan berlaku sejak tahun lepas.
-BERNAMA
-
Published with Blogger-droid v2.0.4
No comments:
Post a Comment