Sunday, May 25, 2008

Kenyataan Zainol tidak wakili akar umbi? (petikan Malaysia Kini)


Seorang ketua Pemuda bahagian di Perak hari ini menegaskan bahawa cabaran ketua Pemuda Umno negeri itu, Zainol Fadzi kepada ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir keluar parti, adalah kenyataan peribadinya.

Pemangku Ketua Pemuda Umno Ipoh Barat, Ahmad Faizal Azumu berkata perkara itu tidak diputuskan dalam mesyuarat Pemuda Umno Perak dan oleh itu tidak mencerminkan pendapat akar umbi.

Semalam, Zainol mencabar Mukhriz dan ahli-ahli exco pergerakan yang menyokongnya, supaya keluar dari Umno.

Zainol juga dilaporkan mahukan supaya Jawatankuasa Pengurusan Umno mengambil tindakan tegas terhadap Mukriz dan lain-lain yang terlibat.

"YB Zainol adalah merupakan sahabat karib yang amat saya kenali dan dari banyak perbualan kami sejak sekian lama, saya berpendapat beliau sendiri sealiran dengan banyak pendapat Datuk Mukhriz berkenaan kepimpinan Pak Lah," kata Ahmad Faizal.

"Jika beliau (Zainol) tidak berani menyuarakan isi hatinya sendiri, bagaimana beliau mampu menjalankan tugas sebagai wakil rakyat dan ketua Pemuda Umno negeri dengan berkesan?

"Tentunya beliau tidak akan mampu menyuarakan suara hati rakyat dan ahli-ahli Pemuda Umno Perak," tambahnya dalam satu kenyataan.

'Berani cakap benar'

Menurut Ahmad Faizal lagi, Zainol membuat kenyataan tersebut selepas perjumpaan dengan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Sehubungan itu, beliau percaya terdapat pihak-pihak lain yang telah mengarahkan Zainol membuat kenyataan tersebut.

Ahmad Faizal menyifatkan tindak tanduk Zainol sebagai 'membaling batu, sembunyi tangan'.

"Nasihat saya kepada beliau ialah berani menyatakan yang benar. Semoga beliau tidak ditolak oleh pengundi yang telah memberi kepercayaan kepada beliau," tambahnya.

Ahmad Faizal menganggap Zainol sebagai seorang pemimpin "yang mengikut kata dan telunjuk tanpa apa-apa perjuangan demi kepentingan parti."

Oleh itu, beliau mendesak Zainol melepaskan jawatan sebagai ketua Pemuda Umno negeri.

No comments: