Tuesday, November 4, 2008

Menurut HARAKAT.'Orang PM' turut disisihkan Umno Perak


Jika mereka masih berkuasa, menang dalam pilihan raya lalu, mustahil perkara seperti ini berlaku. Lebih menarik, beberapa ketua bahagian, tewas di bahagian masing-masing.

Terbaru, hasrat bekas Ketua Umno Bahagian Ipoh Barat, Dato' Hamzah Zainuddin mahu bertanding di Larut, kempunan.

Setakat ini, bahagian Beruas, Gopeng, Bagan Serai, Bukit Gantang, Ipoh Barat dan Taiping sudah bertukar ketua bahagian.

Dalam kes Hamzah dengan Umno Bahagian Larut, jika Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Dato' Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali 'memainkan' peranan, ia tidak menjadi buntu begini. Bukan sekali, ketua bahagian berpindah bahagian dan banyak kes boleh dirujuk, jika ada inisiatif.

Soalnya, hubungan Hamzah dengan Tajol Rosli dikatakan tidak 'mesra' menyebabkan urusan ini menjadi isu besar.

Hamzah juga sepatutnya sedar, ketika dia diberi peluang bertanding di Larut, sepatutnya dia tidak jadikan 'peluang' itu sebagai langkah hendak 'menghambat keluar' pemimpin-pemimpin Umno Larut dari menerajui Umno bahagian itu.

Penyandang jawatan ketua bahagian sekarang, Dato' Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar mungkin terkenang peristiwa bagaimana dia mengambil alih kepimpinan bahagian itu dari bekas ketua bahagian dahulu, Dato' Ali Md Isa.

Satu contoh yang perlu juga Hamzah fikirkan ialah, tidak perlu berpindah dari Ipoh Barat ke Larut. Bukannya jauh mana dari kawasan lamanya ke tempat dia menjadi Ahli Parlimen. Untuk apa dia berpindah?

Tajol Rosli mungkin 'tidak berminat' untuk membantu Hamzah. Peristiwa Hamzah tidak dapat bertanding dalam pilihan raya umum 2004, mungkin menyebabkan Tajol Rosli-Hamzah masih 'terluka'.

Hamzah mungkin 'syak' Tajol Rosli yang menjadi penghalang kepadanya untuk bertanding, manakala Tajol Rosli mempunyai cerita sendiri mengapa Hamzah tidak boleh diletakkan bertanding kerana karenah Hamzah sendiri.

Jika Raja Ahmad meletakkan kepentingan parti yang memberinya banyak peluang menjadi Adun-MP-Adun semula, kedatangan Hamzah ke Larut sepatutnya disambut dengan 'karpet merah'.

Barangkali Raja Ahmad nampak, Hamzah tidak panjang hayat politiknya, memandangkan mentor Hamzah, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah nampak pintu keluar yang boleh membawa Hamzah 'terkeluar' sama.

Inilah Umno sebenarnya. Ketika pemimpin-pemimpin mereka bercakap soal perpaduan, tolak ansur dan membuka peluang kepada pemimpin-pemimpin baru, sekat-menyekat dan haling-menghalang tetap berlaku.

Raja Ahmad mungkin tidak mampu untuk turun menjadi timbalan, jika Hamzah diterima memimpin bahagian kerana kekuatan kepada penyandang timbalan sekarang, Dato' Mohd Daud Mohd Yusoff juga perlu diambil kira.

Dalam persaingan mendapatkan pencalonan, Mohd Daud mendapat lebih pencalonan dari Hamzah dan Raja Ahmad.

Jika berlaku pertandingan tiga penjuru antara Mohd Daud-Raja Ahmad-Hamzah Zainuddin, belum tentu Mohd Daud tewas, walaupun Hamzah adalah Timbalan Menteri Persekutuan sekarang dan Ahli Majlis Tertinggi (yang dilantik).

Menurut laporan media, Raja Ahmad sudah menyampaikan aduannya menolak Hamzah dari menyertai pertandingan ketua bahagian kepada Badan Perhubungan Umno Negeri dan Jawatankuasa Pengurusan Umno di Ibu Pejabat, tetapi kes seperti ini sebenarnya 'kes kecil' yang sengaja tidak mahu diselesaikan kerana Hamzah adalah 'orang Abdullah' yang mereka lihat, sudah tidak perlu dilayan lagi.

"Habis tempoh Abdullah menjadi Presiden Umno, habislah hayat politik Hamzah," kata seorang pemerhati politik dari Ipoh.

No comments: