63 tahun yang lalu, pada 11hb. Mei 1946, setelah melalui beberapa pertemuan dan perbincangan, pemimpin-pemimpin Melayu dari pelbagai persatuan dari seluruh tanahair telah bersepakat untuk menyatukan seluruh perjuangan Bangsa Melayu di Tanah Melayu yang selama ini terpisah-pisah atas faktor primordial dan parochial.
Perjuangan orang Melayu yang pernah dijajah ratusan tahun hanya berjaya apabila ianya disatukan dibawah satu wadah: Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, PEKEMBAR atau UMNO.
Sebelum itu Melayu berjuang secara terpisah-pisah kerana mementingkan semangat kesukuan dan kedaerahan. Melayu Kelantan berjuang untuk orang Kelantan. Melayu Perak berjuang untuk orang Perak. Begitu juga Melayu dari negeri-negeri yang lain termasuk Melayu Johor.
Lahirlah bermacam-macam persatuan seperti API (Angkatan Pemuda Insaf), KMM (Kesatuan Melayu Muda), PETA (Pembela Tanahair), LKMJ (Lembaga Kesatuan Melayu Johor), PMSJ (Pergerakan Melayu Semenanjung Johor dan banyak lagi. Masing-masing mempunyai matlamat perjuangan yang sama iaitu untuk menentang penjajahan Inggeris, tetapi mereka terpisah kerana semangat negatif, yang mengecilkan perjuangan mereka iaitu semangat kesukuan dan kedaerahan.
Dato Onn Jafar adalah tokoh pemimpin Melayu yang telah berjaya menyatu dan memperkasakan perjuangan Melayu melalui satu sahaja wadah Perjuangan iaitu UMNO.
Walaupun UMNO telah ditubuhkan pada tahun 1946, masih ada persatuan Melayu seperti SABERKAS dan Persetiaan Melayu Kelantan yang masih berdegil dan enggan membenarkan ahlinya menjadi ahli UMNO secara terus.
Dengan kebijaksanaan Allahyarham Dato’ Onn Jaafar, melalui sebuah ucapannya pada tarikh 27hb Disember 1947, beliau telah berjaya menyedarkan orang Melayu tentang kesilapan ini dan perjuangan Melayu dapat disatukan melalui parti UMNO yang unggul.
Kesannya, hanya sepuluh tahun sahaja kemudian daripada itu, iaitu pada tahun 1957, Tanah Melayu telah mencapai kemerdekaannya setelah melalui zaman penjajahan yang penuh keperitan dan penghinaan kira-kira selama 450 tahun. Peringatan Dato Onn ini kepada orang Melayu telah dilafaskannya kira-kira 63 tahun yang lalu.
Hari ini terdapat juga dari kalangan kita yang berjuang dengan mengajak dan menyeru orang Melayu khususnya Ahli UMNO agar kembali semula ke era atau zaman kelemahan perjuangan Melayu. Mereka ini berusaha untuk melemahkan UMNO. Mereka mengajak orang Melayu berundur kebelakang. Mereka mengajak orang Melayu membongkar kubur pejuang-pejuang kesukuan dan kedaerahan yang telah lama dikuburkan oleh UMNO dan cuba menghidupkan tulang-tulang yang telah reput itu.
Menyentuh tentang mereka ini, saya teringat akan sebuah pesanan Lukmanul Hakim yang terkenal itu kepada anaknya. Lukmanul Hakim pernah berpesan kepada anaknya : “wahai anakku, Jika kamu tidak dapat menjadi garam yang boleh menahan ikan dari menjadi busuk, maka janganlah sekali-kali kamu menjadi langau yang akan mempercepatkan lagi ikan itu menjadi busuk.
Moral atau pengajaran yang boleh kita dapat dari pesanan Lukman Hakim itu adalah : Jika kita tidak dapat untuk menyumbang kepada memastikan UMNO terus utuh dan kuat bagi menjayakan agenda perjuangan bangsa Melayu, maka janganlah pula kita menjadi orang yang beria-ia dan bersungguh-sungguh berusaha untuk merosak dan menjahanamkan UMNO yang keramat ini. Mudah-mudahan, kita akan mendapat pengajaran dari pesanan yang sungguh amat bermakna ini.
Dalam setiap langkah perjuangan UMNO, ianya hanya boleh berjaya jika ia terus diberikan sokongan, khususnya oleh orang-orang Melayu. Lagi ramai orang Melayu menyokong UMNO, lagi pantas, lagi mudah dan lagi cepat UMNO bergerak, untuk memberi pembelaan dan perjuangan kepada orang-orang Melayu.
Orang Melayu tidak menyokong UMNO hanya kerana nama pertubuhan kita adalah UMNO. Orang Melayu akan terus memberikan sokongan yang berterusan kepada UMNO, hanya jika kita sentiasa berjuang untuk memelihara kekuasaan politik, kesejahteraan ekonomi dan martabat sosial serta mempertingkatkan kesucian agama islam dan keagongan bangsa kita.
Keputusan Pilihanraya Umum ke 12 (PRU12) yang lalu telah menunjukkan bahawa, ada tanda-tanda bahawa orang Melayu khususnya generasi muda, telah mula hilang kepercayaan kepada parti kita UMNO. Selain Kelantan, kini Kedah, Perak (dapat kita tawan kembali), Pulau Pinang dan Selangor telah berjaya ditawan oleh Parti Pembangkang. Negeri Johor yang terkenal selama ini sebagai kubu kuat UMNO, juga telah berjaya dicerobohi oleh pihak pembangkang.
Lanjutan dari kemerosotan Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum yang lalu, telah menyebabkan kegawatan dalam parti kita UMNO. Begitu juga dalam parti-parti komponen BN yang lain. Masing-masing cuba menuding jari menyalahkan pihak yang lain.
Tindakan menyalahkan pihak lain tidak akan menyelesaikan masalah yang sedang kita hadapi, melainkan kita sendiri harus mengkaji semula kelemahan dan kesilapan diri kita, seterusnya mengambil jalan secepat mungkin, untuk memperbaiki kelemahan dan kesilapan tersebut. Masa terus berjalan. Jika kita lambat bertindak dan terus menyalahkan pihak lain, kemungkinan untuk bangkit semula dalam Pilihanraya Umum yang akan datang menjadi semakin tipis.
Kesan dari keputusan PRU12 yang lalu juga, telah menyebabkan orang-orang Melayu yang merasa cemas dan tergugat, mula mengambil tindakan menubuhkan bermacam-macam pertubuhan. Dalam keadaan kita mahu menyatukan Orang Melayu yang telah mula berpecah, tindakan ini tentunya tidak akan membantu. Malah tindakan menubuhkan lebih banyak pertubuhan ini akan menambahkan lagi perpecahan kepada Orang Melayu.
Namun bagi saya, keadaan ini juga sebenarnya boleh ditafsirkan sebagai menunjukkan, bahawa sudah ada tanda-tanda Orang Melayu mula merasakan bahawa mereka tidak boleh lagi mengharapkan Parti UMNO untuk menjamin dan membela nasib mereka. Orang Melayu mula merasa tidak selamat lagi.
Banyak seminar, banyak forum dan perbincangan telah diadakan untuk mengkaji apa yang sebenarnya telah terjadi kepada UMNO dan Barisan Nasional, pada PRU12 yang lalu. Maka begitu banyak sebab telah kenal pasti sebagai punca kepada keadaan ini. Banyak juga cadangan yang telah diterima oleh UMNO untuk dilaksanakan, bagi mengembalikan keyakinan dan sokongan pengundi kepada parti kita.
Apa yang pasti, persepsi atau pandangan masyarakat dan pengundi terhadap parti kita telah banyak merosot dan berubah. Ahli UMNO kini dilihat mementingkan diri sendiri berbanding melaksanakan tanggungjawabnya untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Ahli UMNO jugai dilihat lebih gemar mengejar jawatan bagi kepentingan diri dan kumpulan mereka sendiri. Ahli UMNO kini dilihat malah dituduh sebagai orang yang rasuah.
Ahli UMNO juga digambarkan sebagai gila kuasa sehingga sanggup menghabiskan wang yang banyak untuk menyogok dan merasuah bagi mendapatkan jawatan tertentu dalam parti.
Bermacam-macam persepsi buruk yang telah dilabelkan kepada UMNO. Semua ini tidak boleh kita ambil dan pandang ringan kerana semua inilah yang menentukan kemenangan atau kejayaan parti kita pada masa depan.
Samada kita suka atau tidak dengan setiap persepsi mahupun label buruk yang telah diberikan kepada parti kita, rakyat atau pengundi telah membuat keputusan di peti-peti undi pada PRU12 yang lalu.
Samada kita menerimanya atau menafikannya, kita telah kehilangan 4 buah lagi negeri pada PRU12 yang lalu. Adakah kita sanggup kehilangan beberapa buah negeri lagi pada PRU13 yang akan datang.
Jika kita terus berbalah dan menyalahkan pihak lain serta tidak cepat bertindak, kita malah mungkin akan menerima kekalahan yang lebih teruk lagi, dan mungkin juga akan terus kehilangan kuasa di peringkat Kerajaan Persekutuan. Adakah kita sanggup perkara ini terjadi kepada parti kita.
Tidak ada maknanya jawatan dalam parti yang kita perolehi dengan menggunakan sogokan itu, sekiranya parti kita telah kehilangan kuasa untuk memerintah.
Justeru itu, marilah kita bermuhasabah diri. UMNO tidak boleh kalah dalam pilihanraya. UMNO tidak mampu untuk menerima kekalahan dalam pilihanraya.
UMNO yang keramat ini mempunyai tanggungjawab besar kepada kelangsungan dan masa depan Bangsa Melayu. UMNO, parti keramat yang banyak berjasa ini, memikul amanah yang sungguh besar bagi memartabatkan Bangsa Melayu.
Kepada UMNO diletakkan harapan yang tinggi untuk memastikan Bangsa melayu dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa yang lain. Dan kepada UMNO jugalah diharapkan menjadi benteng kepada ketinggian syiar Islam di Negara bertuah ini.
Maka pada hari ini, bersempena dengan ulangtahun ke-63 kelahiran parti Keramat UMNO, saya ingin menyeru kepada semua ahli dan pemimpin UMNO, marilah kita bersatu memulih dan mengembalikan semula kepercayaan dan sokongan rakyat kepada parti kita. Marilah kita berganding bahu menyelamat dan menguatkan semula parti kita yang telah banyak berjasa ini. UMNO telah berusia 63 tahun.
Jika diibaratkan seperti kenderaan, UMNO telah ditunggangi oleh Orang Melayu selama 63 tahun. UMNO telah tua. UMNO perlu dipulihkan dan diberikan tenaga semula. UMNO perlu diREMAJAkan semula agar parti kita ini dapat terus diterima, dipercayai dan diberikan sokongan tidak berbelah bahagi oleh Orang Melayu.
UMNO perlu diremajakan semula agar dapat terus berkhidmat kepada masyarakat dan orang Melayu. UMNO perlu diremajakan semula agar Bangsa Melayu terus berkuasa di Negaranya sendiri. UMNO perlu diremajakan semula kerana Orang Melayu belum mampu untuk hidup tanpa kuasa politik UMNO.
Sebagai generasi muda dan generasi pelapis yang akan mewarisi UMNO, marilah kita mulakan langkah untuk meremajakan UMNO. Marilah kita tingkatkan azam dan semangat kita untuk terus berkhidmat kepada masyarakat melalui UMNO.
Marilah kita mengukuhkan kesatuan kita. Marilah kita menunjukkan sifat prihatin kita terhadap segala permasalahan yang sedang berlaku dalam masyarakat. Marilah kita buangkan sifat-sifat dan prilaku buruk yang telah menyebabkan masyarakat dan pengundi memandang serong kepada parti kita.
Marilah kita mendekati semula masyarakat yang mungkin telah kita tinggalkan suatu masa dahulu kerana kesibukkan kita. Marilah kita menunjukkan contoh dan imej yang baik kepada masyarakat, kerana sebagai pemimpin dan ahli parti, diri, peribadi dan perlakuan kita adalah cerminan kepada parti kita. Baik pandangan masyarakat kepada kita, insyaAllah baiklah juga pandangan mereka kepada parti kita UMNO.
Sebaliknya, jika buruk pandangan mereka kepada kita, maka buruk jugalah pandangan mereka kepada parti kita UMNO.
Marilah kita mengembalikan semula persepsi dan keyakinan masyarakat supaya mudah-mudahan, UMNO akan kembali diterima dan menjadi satu-satunya parti yang mampu menjadi pembela kepada nasib dan masa depan Bangsa Melayu seperti dahulu.
"Sayangkan Bangsa adalah 'Roh' kepada perjuangan UMNO selama 63 tahun ini. Hanya dengan memiliki perasaan Sayangkan kepada Bangsa Melayu akan memastikan kita akan sentiasa cuba memberikan yang terbaik dan menghindarkan sesuatu yang buruk dari menimpa kepada bangsa kita"
Selamat Hari UMNO yang ke 63 tahun. Bersama kita memperkasa dan memelihara UMNO agar dapat kita wariskan kegemilangannya kepada generasi akan datang, InsyaAllah.
Salam Perjuangan,
MataHatiBangsa
Pengerusi,
Kelab Penyokong UMNO Facebook (KPUMaya)
(DaripetikanKelab Penyokong UMNO)
1 comment:
Pada kelazimannya orang yang masih hidup saja disambut harijadinya. Sementara untuk orang yang sudah mati dibuat majlis tahlil dan dibacakan doa arwah.
UMNO yang dilahirkan pada tahun 1946 sudahpun meninggal pada tahun 1988 pada usia 42 tahun. Yang ada sekarang ialah UMNO(BARU) yang baru berusia 21 tahun. Kerana itu saya mengambil kesempatan ini mengucapkan "SELAMAT HARI UMNO(BARU) KE-21"
Post a Comment